Pengerusi Interim DAP Kedah & Ahli Parlimen Kawasan Bukit Bendera
Pada pagi ini saya amat berbangga kerana dapat hadir untuk
melancarkan Pusat Komuniti DAP bagi kawasan Derga. Rasa bangga itu bukan
hanya kerana pusat ini merupakan pusat khidmat pertama yang dirasmikan
oleh saya selaku Pengerusi Interim DAP Kedah, tetapi kerana ia juga
melambangkan permulaan baru bagi DAP Kedah secara khas dan Pakatan
Rakyat secara umumnya.
Pada masa yang sama, saya juga yakin bahawa Pusat Komuniti DAP Derga
ini bakal menjadi titik tolak untuk DAP kembali mengukuhkan
kedudukannya dalam politik negeri Kedah. Ini kerana kejayaan DAP dalam
memenangi kerusi Derga adalah sangat bermakna dan menjadi contoh kepada
akar umbi parti di seluruh negara memandangkan Derga merupakan kawasan
majoriti Melayu.
Hakikat ini sekaligus memecahkan propaganda sempit
Barisan Nasional yang cuba menggambarkan keputusan Pilihan Raya Umum
ke-13 (PRU13) sebagai "Tsunami Cina".
Maka, dalam konteks yang lebih besar, saya juga percaya kejayaan DAP
di kawasan Derga ini akan memberikan sumbangan yang signifikan kepada
Pakatan Rakyat Kedah. Dalam pada itu, saya menyambut baik kehadiran
barisan kepimpinan parti-parti komponen pada pagi ini, dan harap agar
kerjasama dan keakraban antara ketiga-tiga parti akan lebih dieratkan
lagi.
Detik paling getir
Kita kini berada dalam detik paling getir dalam sejarah politik
negara ini. Buat kali pertama, rakyat Malaysia mempunyai pilihan
kerajaan alternatif yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga terbukti.
Ekoran daripada itu, PRU13 telah menyaksikan persaingan yang begitu
sengit sehingga gabungan Pakatan Rakyat hampir-hampir berjaya membina
kerajaan Persekutuan.
Malah, secara teknikal, Pakatan Rakyat kini adalah
suara majoriti rakyat Malaysia kerana telah memenangi majoriti undi
rakyat dengan 51 peratus undi popular, berbanding 47 peratus yang
dimenangi BN. Situasi ini cukup menjelaskan bahawa politik Malaysia kini
sedang melalui peralihan.
Oleh hal yang demikian, sudah pasti sikap dan kekuatan parti akan
diuji pada tahap yang paling tinggi. Sudah tentu terdapat banyak isu
antara parti komponen Pakatan Rakyat, bukan hanya di peringkat politik
semasa, malah juga di peringkat ideologi dan dasar yang harus
dituntaskan.
Pergulatan pemikiran (struggle of ideas), cita-cita dan gerak kerja
politik ini adalah lumrah dan sihat. Hal ini kerana bangsa Malaysia
sendiri juga berada pada transisi yang melibatkan isu-isu dasar seperti
hubungan antara kaum, pendekatan ekonomi dan pembagunan sosial, yakni
isu-isu yang tidak diberi perhatian yang cukup oleh parti pemerintah
selama ini.
Malah, umum mengetahui bahawa dasar-dasar Barisan Nasional merupakan
punca ketegangan kaum, pecah belah rakyat, dasar ekonomi yang
memperkayakan kroni dan mengabaikan rakyat, jurang pendapatan yang makin
melebar serta penindasan hak asasi manusia.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab Pakatan Rakyat untuk memastikan
pertumbuhan dan perkembangan sebagai sebuah gabungan parti yang matang
serta berani kerana hanya Pakatan Rakyat yang mampu menyediakan
alternatif kepada politik lapuk kerajaan Barisan Nasional. Hanya Pakatan
Rakyat yang mampu melawan politik perkauman, ekonomi kroni dan
ketidakadilan sosial yang berleluasa.
Kerjasama Pakatan Rakyat kunci kejayaan
Justeru, saya tidak perlu berdolak-dalik untuk mengatakan bahawa
terdapat banyak lagi ruang kerjasama dan kesefahaman yang boleh dicapai
dalam Pakatan Rakyat. Pada saya, Pakatan Rakyat negeri Kedah kini berada
dalam kedudukan terbaik untuk mencapai hasrat ini.
Malah, di peringkat Parti DAP negeri Kedah sendiri, kami telah
melakukan perubahan struktur organisasi bagi menyediakan barisan
kepimpinan terbaik – melalui gabungan pemimpin muda dan pemimpin
berpengalaman – untuk menjayakan misi besar Pakatan Rakyat bagi menawan
kembali negeri ini.
Saya percaya pucuk pimpinan parti-parti komponen yang lain juga
mempunyai pendirian yang sama, dan saya yakin masa yang akan datang ini
bakal menyaksikan penggemblengan yang padu antara ketiga-tiga parti.
Sekali lagi saya mengucapkan tahniah atas kejayaan DAP Kedah
menubuhkan Pusat Komuniti Derga berdasarkan konsep “kemasyarakatan”, di
mana pusat itu bukan sahaja sekadar tempat aduan orang awam tetapi pusat
kegiatan aktiviti-akiviti masyarakat.
Pada masa yang sama, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih
kepada para penyokong Pakatan Rakyat di Alor Setar atas sokongan yang
kuat dalam Pilihan Raya Umum yang lepas dan juga di masa akan datang.